Monday, December 3, 2007

Ramai Melayu Muflis

Pertambahan kes muflis melibatkan orang Melayu kini berada di tahap yang semakin membimbangkan.

Tiga tahun lalu sebanyak 51 peratus daripada 104,770 kes kebankrapan terdiri daripada orang Melayu dan jumlah tersebut didapati bertambah dari tahun ke tahun.

Terbaru, empat muka surat notis muflis yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia dalam Utusan Malaysia memperlihatkan 124 daripadanya adalah individu Melayu, Cina (76), India (19) dan selebihnya adalah syarikat.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S. M Mohamed Idris berkata, walaupun hutang minimum yang diperlukan untuk diisytiharkan muflis telah dinaikkan daripada RM10,000 ke RM30,000 namun kes kebankrapan di kalangan orang Melayu terus meningkat.“Empat sebab teratas berlakunya kebankrapan adalah kegagalan membayar pinjaman sewa beli kenderaan (23 peratus), kegagalan membayar pinjaman pendidikan (16 peratus), tunggakan hutang bank (15 peratus) dan hutang kad kredit (11 peratus).

"Akibatnya terlalu ramai yang tertekan, kehilangan harta benda, reputasi, ketenangan fikiran dan kehidupan keluarga yang tidak bahagia akibat berhutang,’’ katanya pada Utusan Malaysia di sini hari ini. CAP ingin mencadangkan beberapa jalan penyelesaian agar jumlah kebankrapan tersebut tidak lagi meningkat dengan lebih ketara pada masa akan datang.

Antaranya, kerajaan perlu meningkatkan bayaran pendahuluan minimum bagi perjanjian sewa beli kepada sekurang-kurangnya 20 peratus berbanding 10 peratus ketika ini.Tambahnya, selain itu, ketatkan proses mendapatkan kad kredit, antaranya pendapatan minimum perlu kembali kepada RM24,000 setahun dan bayaran semula bulanan perlulah tidak kurang 20 peratus daripada jumlah bil.

Ujarnya, tiada pinjaman seharusnya diberikan apabila had tertentu sudah dicapai, contohnya jika hutang pemohon sudah pun melebihi 50 peratus daripada gajinya.

"Rakyat Malaysia memang terlalu banyak meminjam terutamanya dalam perniagaan, kenderaan, rumah, saham dan sebagainya".


b) Lapuran tambahan dari blogger (ada benarnya):-

Orang Melayu memang banyak berhutang. Kita tidak boleh nafikan sebab orang Melayu di Malaysia ini majoritinya hidup miskin, tak mewah, tak kaya, sebabnya kerja makan gaji, tak berniaga macam Cina.

Yang berniaga pun rugi. Ada banyak sebab kenapa berhutang. Yang paling popular adalah kerana :-

1)terpaksa disebabkan kesusahan hidup
2)memang suka mendapatkan jalan yg mudah untuk dapatkan duit iaitu dengan berhutang.

Banyak hutang kalau hendak disenaraikan yangg melibatkan orang Melayu kita ini:

1- Rumah (termasuk rumah sewa)
2- Kereta
3- Kad Kredit
4- Barangan rumah (elektrik, perabot)
5- Pendidikan
6- Perniagaan
7- Perkahwinan
8- Pelaburan saham
9- Perbelanjaan harian (ada yg terpaksa berhutang)
10- Hutang dgn kawan

Semua ini terpaksa dialami oleh orang Melayu, kerana apa? Kerana terpaksa.

Tapi, kita janganlah sampai menggalakkan diri kita untuk berhutang memanjang. Kena berusaha juga. Tapi, aku sedih juga bila ada orang Cina menganggap melayu ni kaki hutang. Bila berhutang, malas hendak bayar balik walaupun ada duit untuk bayar balik.


c) HIDUP adalah satu pengembaraan yang panjang, tindakan yang diambil hari ini menentukan nasib masa depan.

Earl Nightingale ada berkata: Apa yang anda perlu lakukan adalah membuat perancangan, merangka peta perjalanan dan keberanian untuk terus menuju destinasi.

Dalam hidup, anda tidak mungkin dapat mengubah permulaan yang sudah anda buat, tetapi anda boleh menentukan bagaimanakah bentuk penghujung kehidupan yang ingin anda jalani.

Sekalipun baru sekarang anda mula menabung, ia masih belum terlambat asalkan anda mengetahui betapa pentingnya mempunyai tabungan untuk diri sendiri. Arus kehidupan tidak menentu, ada ketikanya hidup kita mudah dan mewah, tetapi ada waktunya sempit dan sesak.

Dengan menabung, anda menjadi manusia merdeka yang tidak bergantung pada orang lain ataupun meminjam daripada kad kredit untuk meneruskan kelangsungan hidup. Selepas menentukan matlamat tabungan anda itu, sama ada untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang, dan memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada wang gaji anda untuk disimpan setiap bulan, anda perlu fikirkan di manakah seharusnya anda menyimpan wang anda itu.

Banyak instrumen pelaburan yang ada di negara ini, contohnya anda boleh menyimpan dalam akaun simpanan tetap, Amanah Saham Bumiputera (ASB), akaun simpanan biasa atau anda boleh menabung dengan melabur dalam Saham Amanah.

Anda perlu kaji mana satu instrumen pelaburan yang mampu memberikan pulangan lebih tinggi sesuai dengan matlamat pelaburan anda. Selain menabung untuk saat kecemasan, pendidikan anak, ramai yang tidak berfikir untuk menyediakan tabungan persaraan.

Persaraan sering kali diabaikan kerana yang selalu bermain dalam fikiran kita, tempohnya masih jauh, apabila bersara ada wang pencen ataupun ada dana daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh dikeluarkan apabila usia menginjak 55 tahun.

Hakikatnya apabila wang KWSP dikeluarkan, ketika itulah ramai yang mengambil kesempatan membesarkan rumah bagi kemudahan anak cucu yang datang menziarah, wang itu jugalah yang akan digunakan untuk pembiayaan anak untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, wang itu juga digunakan untuk mengadakan majlis perkahwinan anak, untuk menunaikan haji dan umrah ataupun melancung.

Ada juga yang menggunakan wang persaraan untuk memulakan perniagaan sedangkan risiko perniagaan amat tinggi. Jika perniagaan tidak menjadi, wang persaraan yang sepatutnya diguna untuk membiayai hidup, akan lebur dan hangus. Ketika inilah ibu bapa yang sudah berusia itu terpaksa meletakkan penggantungan mereka kepada anak sedangkan anak pula mempunyai komitmen mereka sendiri.

Tidak menghairankan jika kita dapati ramai pesara terutama daripada kalangan berpendapatan sederhana terpaksa bekerja semula sama ada menjadi pengawal keselamatan, pembantu stesen minyak ataupun berjualan kecil-kecilan dengan berniaga nasi lemak.

Mengikut laporan KWSP, 72 peratus daripada pencarum yang mengeluarkan wang simpanan mereka daripada KWSP menghabiskan wang itu dalam tempoh tiga tahun.

Bayangkan, apa akan berlaku sekiranya dalam usia begitu, kita tidak mempunyai wang untuk hidup. Ramai beranggapan kita tidak perlukan banyak wang ketika bersara kerana semua anak sudah besar dan bekerjaya sedangkan hakikatnya ketika ini kita ingin mengekalkan gaya hidup sihat dan berkualiti. Sumber pendapatan bulanan sudah tiada, tetapi perbelanjaan seharian masih berterusan.

Akan timbul perbelanjaan tambahan seperti perbelanjaan perubatan kerana apabila usia semakin meningkat, keadaan kesihatan semakin menurun.

Kajian menunjukkan jangka hayat manusia semakin panjang dengan adanya kecanggihan teknologi perubatan. Kajian daripada Jabatan Statistik Malaysia (2004), jangka hayat lelaki meningkat pada 70.3 tahun manakala jangka hayat perempuan, 76.2 tahun dibandingkan masing-masing 69.4 tahun dan 73.6 tahun pada 1992.

Andaikan RM668,200 diperlukan untuk membiayai kehidupan persaraan selama 20 tahun. Kita perlukan tambahan RM79,000 untuk hidup lima tahun lagi dan RM136,000 untuk hidup 10 tahun. Andaian ini dibuat berdasarkan pendapatan persaraan setahun RM60,000 dan dilaburkan dalam instrumen pelaburan yang memberi kadar pulangan enam peratus setahun.

Mengikut kajian, kita dapat bersara dengan selesa apabila mempunyai sekurang-kurangnya 70 peratus daripada gaji bulanan diterima ketika bekerja. Bagi tujuan persaraan ini, anda tidak seharusnya mengharapkan saja wang pencen ataupun wang KWSP untuk membiayai kehidupan bersara.

Bagi meningkatkan tabungan persaraan, KWSP sejak 1995 lagi sudah memberi kebenaran kepada pencarumnya mengeluarkan sebahagian simpanan dalam Akaun 1 untuk dilaburkan dalam saham amanah. Ramai yang tidak menyedari perkara ini dan ada juga yang mengetahui, tetapi tidak mahu mengambil risiko. Mereka lebih rela simpanan mereka dimamah inflasi.

Bagi meningkatkan tabungan, anda boleh menyediakan akaun persaraan kedua iaitu dengan menabung secara konsisten setiap bulan. Bayangkan, apabila anda memperuntukkan RM200 sebulan dan melabur secara konsisten selama 35 tahun dalam instrumen pelaburan yang mampu memberi purata pulangan tahunan12 peratus, apabila bersara anda mempunyai RM1.2 juta. Buka minda dan jadilah pelabur berwawasan!


d) Kaedah terbaik dalam menguruskan hutang anda.

Seperti kita sedia maklum, hidup kita tidak dapat lari daripada hutang. Beli rumah, terpaksa buat pinjaman, beli kereta, buat pinjaman lagi. Malah tidak ketinggalan juga perabot-perabot yang ada dirumah pun dibeli secara ansurans!

Disini saya berikan anda beberapa tips bagaimana menguruskan hutang dengan baik iaitu :

a. Hadkan hutang anda : Anda seharusnya menghadkan jumlah maksimum untuk hutang anda. Saya syorkan kepada anda, had hutang anda mestilah tidak melebihi 15% daripada jumlah pendapatan anda. Contohnya, jika gaji anda sebulan ialah Rm3,000 maka had hutang anda yang maksimum ialah Rm450 sahaja!

b. Jangan beli barangan sewa beli : Ya, janganlah sesekali anda membeli barangan secara sewa beli. Sebaik-baiknya belilah secara tunai. Jika tidak, anda akan terjerumus dengan masalah hutang keliling pinggang. Jika mahukan sesuatu barang itu, simpanlah wang yang secukupnya, kemudian belilah secara tunai!

c. Bayar hutang secara tetap : Anda wajib membayar hutang anda setiap kali bil sampai. Jangan tangguhkan sehingga tempoh yang terlalu lama kerana anda akan dikenakan penalti atau caj yang lain! Seboleh-bolehnya, bayarlah jumlah hutang yang maksimum (bayar penuh mengikut bulan) dan bukannya jumlah hutang yang minimum.

d. Bayar lebih jika mampu : Saya galakkan anda membayar lebih hutang anda. Selain dapat menyingkatkan tempoh hutang, faedah yang dikenakan juga akan berkurangan. Jika sebelum ini anda membayar sebanyak Rm300, maka tambahlah Rm50 ataupun Rm100!

Banyak lagi teknik-teknik bagaimana menguruskan hutang dengan berkesan. Apa yang penting, anda harus mengelakkan diri dari menambahkan hutang yang sedia anda!